Kaedah Bersunat atau Berkhatan yang Paling Mudah dan Selamat agar Anak Anda tidak Meraung Sepanjang Hari

Salam ceria semua, sekarang ni dah mula cuti persekolahan. Ibu-ibu dapat rehat sikit dari rutin gosok baju sekolah anak, kelam kabut pagi-pagi nak kejut anak, sediakan breakfast dan pelbagai drama pagi yang sungguh kalut itu pun reda buat seketika. Mesti ramai juga telah merancang pelbagai aktiviti untuk anak-anak sepanjang cuti sekolah agar masa mereka terisi dengan aktiviti berfaedah. Takde la dok hadap gadjet memanjang kan. Begitu juga aktiviti bersunat atau berkhatan untuk anak teruna masing-masing. Ada yang anjurkan bersunat secara berjemaah... seronok tu! Siap siram dengan air pili bomba...hehe.... tu kat bandar la. Nak berkubang kat sungai takde..:-). Ada juga yang bersunat secara persendirian, bawak anak gi klinik yang terpilih untuk disunatkan. Bersunat sendirian ni lebih menjimatkan masa la, sebab tak perlu tunggu turn ramai-ramai. Jadi, ibu-ibu bapa bapa dah survey ke kaedah bersunat atau berkhatan yang paling mudah dan selamat? Sebenarnya ummi ni pun tengah survey untuk menyunatkan anakanda sulungku Ammar Fakhri yang sudah berumur 6 tahun.


kaedah berkhatan
Anakanda Ammar Fakhri


Ummi dah berkali-kali tanya Ammar, "Ammar sunat ye tahun ni", "Ok Ummi, sunat tak sakit pun kan. Macam kene gigit semut kan ummi. Bukan macam kene gigit harimau. Mail tipu je kan.", kesan dari cite upin ipin. Bagus la citer upin ipin tu, banyak mempengahruhi jiwa anak-anak (yang positif). Lepas tu nanti ummi tanya lagi "Ammar sunat ye", "Ammar kan dah kata nak!", anakanda menjawab. Huh,  ummi yang telebih risau ni...betul ke Ammar dah ready nak kene sunat. Ummi tanya lagi di waktu yang lain, "Ammar sunat ye?", Ammar jawab "Nak, tapi doktornya yang macam dalam cerita upin ipin tu. Bagi lolipop kat Ammar, pastu Ammar makan, lepas tu doktor kata dah siap. Tahniah! adik dah selamat bersunat." Gulp... telan air liur ummi.. ada ke doktor nak bagi lolipop? Mungkin ummi yang kene bersepakat dengan doktor bagi lolipop untuk diberi pada Ammar...hehe.

kaedah berkhatan



Maka ummi pun dengan sibuknya study tentang kaedah bersunat.


Khatan bermakna memotong lebihan kulit di bahagian alat sulit samaada bagi wanita (kelentit) mahupun lelaki (kulup). Khatan atau "bersunat" merupakan salah satu cara membersihkan alat sulit kerana zakar dan faraj merupakan tempat dimana pembiakan kuman-kuman yang boleh memudaratkan. Menurut Imam Shafie, Imam Malik dan al-Auzai serta lain-lain berkhatan atau bersunat ini merupakanwajib bagi seseorang yang bergelar Muslim. Kebanyakan ulama berpendapat bahawa khatan wajib dilakukan ketika si anak hampir cukup umur atau akil baligh.
Mengkhatan anak lelaki adalah wajib manakala mengkhatankan anak gadis adalah terpuji dan bukannya wajib.

Kaaedah berkhatan pula, ada beberapa cara yang ummi share dari blog seorang doktor perubatan. Sila baca apa yang ummi pun baca ye.


KAEDAH KONVENSIONAL
Kaedah konvensional juga ada banyak jenis. Tetapi untuk lebih mudah difahami, ia adalah membuang kulit di hujung kemaluan dengan memotongnya kemudian memberhentikan darah secara manual dan menjahit baki kulit.Kaedah berkhatan
Kaedah konvensional ini mengalami sedikit evolusi dengan kehadiran satu alat dipanggil cautery. Cautery ini adalah satu alat yang menggunakan elektrik atau bateri. Ia menghasilkan haba di hujungnya dan boleh digunakan untuk memotong lebihan kulit dan membakar salur darah. Ini menjadikan proses khatan kurang dari segi pendarahannya.
Ada ibu bapa menyalah anggap dan memanggilnya sebagai "laser" walaupun ia bukanlah sejenis laser. Cautery elektrik pada pasaran semasa berharga antara RM 2500 - RM 5000 mengikut jenisnya. Oleh itu bukan semua klinik atau doktor yang mempunyai alat ini. (Saya pun pinjam dengan orang). Cautery menggunakan bateri daripada jenis yang baik dan tahan lama adalah di dalam lingkungan RM 2000. 
Kaedah menggunakan gunting dan pisau (blade) masih juga digunakan oleh sebilangan doktor. Pakar bedah plastik yang mengajar saya berkhatan dahulu pun masih menggunakan kaedah ini. Pendarahan diberhentikan menggunakan teknik "Ligation" iaitu diikat menggunakan benang. Kaedah memberhentikan darah secara ini adalah selamat kerana, saluran darah besar akan tertutup dengan pasti menggunakan benang berbanding membakar menggunakan cautery.




kaedah berkhatan
Walaubagaimanapun, cara ini agak lambat. Ia mengambil masa dari 20 minit sehingga 45 minit seorang pesakit. Bergantung kepada pendarahan dan sebagainya. Cara konvensional lebih memudahkan berlaku pendarahan kerana memotong menggunakan gunting atau pisau tidak memberhentikan darah berbanding cautery.
Oleh itu ramai doktor menggunakan kaedah konvensional tetapi memotong kulit dan memberhentikan salur darah menggunakan cautery dan menjahit kulit menggunakan benang "catgut". Ini mempercepatkan proses berkhatan dari 45 minit kepada 20 minit sahaja untuk seorang pesakit.

KAEDAH KLAMP
Kaedah klamp (tara klamp, smart klamp) adalah cara terikini untuk berkhatan. Ia adalah cara yang sangat cepat dan kurang pendarahan. Cuba bayangkan 80 orang boleh disunatkan di dalam masa 3-4 jam sahaja dengan 5 buah katil oleh 5 orang operator.
Jika tak silap saya salah satu klamp yang awal dihasilkan berasal daripada idea seorang doktor berketurunan sikh di Malaysia. Aneh kan? Seorang Doktor yang bukan Islam menghasilkan satu alat yang rata-ratanya orang Islam yang banyak menggunakannya.
Setelah kanak-kanak diberi bius, ukuran klamp dikenalpasti dan alat yang sesuai dengan saiz kemaluan akan dimasukkan. Setelah klamp diaplikasikan di tempatnya yang sesuai, kulit-kulit yang berlebihan akan dipotong (samada menggunakan cautery atau pisau). Pendarahan adalah kurang kerana segala salur darah telah ditekan menggunakan alat tersebut.

  Kaedah ini tidak perlu jahitan. Oleh itu ia sangat cepat. Selepas 7 hari pesakit akan datang ke klinik semula untuk membuka klamp tersebut. Adakalanya ia akan jatuh sendiri dan ini memudahkan urusan.
Dari segi kos, kaedah klamp ini agak mahal. Rata-ratanya di klinik mengenakan bayaran daripada RM 200 hingga RM 350 untuk satu prosedur. Harganya mungkin lebih murah di dalam lingkungan RM 150- RM 180 sekiranya diadakan berkahatan beramai-ramai kerana dari segi bilangan peserta yang ramai akan mengurangkan kos.
Ada ramai doktor yang tidak beberapa menyukai kaedah klamp. Ini juga termasuk saya. Ada juga yang pada awalnya menggunakan klamp tetapi akhirnya bertukar kepada kaedah khatan konvensional.
Masalah yang berlaku kepada klamp ialah apabila untuk membuang klamp selepas satu minggu. Klamp akan melekat di kawasan kemaluan untuk menutup salur darah dibahagian kulit yang dipotong. Untuk membukanya kadang-kadang pesakit akan merasa sakit. Sakitnya adalah sebagaimana dia bersunat dahulu. Ada yang menangis kerana kesakitan selama beberapa hari selepas itu.
Sedangkan, kaedah konvensional hanya merana pada waktu bersunat sahaja selepas itu tidak ada lagi kesakitan kerana benang yang dijahit akan hilang sendiri dan tidak perlu dibuang.
Ada juga pendarahan berlaku selepas klamp dibuang. Ini kerana kulit yang diklamp tidak tertutup sepenuhnya kerana masalah jangkitan. Masalah jangkitan boleh berlaku pada teknik klamp dan mengakibatkan luka lambat sembuh. Berbanding dengan kaedah jahitan, luka mudah terbuka kerana tidak ada jahitan yang menyokongnya.


KESIMPULAN
Cara yang bagaimana anda pilih untuk mengkhatankan anak anda bergantung kepada pilihan masing-masing. Jika tidak mahu pendarahan, pantas dan mudah dijaga maka pilihlah klamp.

Sekiranya mahukan cara konvensional, ada jahitan dan kurang pendarahan, gunakan cara cautery yang masih mengekalkan tradisi lama. 

Setelah membaca entry doktor azwan tu, ummi masih berkira-kira lagi nak guna kaedah apa nak sunatkan anakanda Ammar ni. Bagi ibu-ibu di luar sana, pilihlah mana-mana kaedah pun. Jangan lupa berdoa yang terbaik untuk anak. Insya Allah apa-apa cara pun ok. 


Nanti kalau Ammar dah bersunat, ummi share cerita ye.




Comments

Popular posts from this blog

Pentingnya Hobi untuk Kurangkan Stress

Puisi yang Menyentuh Hati Seorang Perempuan

Tips Menghilangkan Parut Chicken Pox yang Cepat dan Berkesan